Sunday, February 22, 2009

INTERAKSI 5

Jenis-Jenis Penilaian

Banyak cara kita boleh mengkelaskan penilaian. Penilaian yang dibuat berasaskan tujuan dan masa boleh dikelaskan kepada penilaian formatif, sumatif, pra kelayakan dan diagnostik dan alternatif. Penilaian pengajaran juga boleh dilakukan melalui pelbagai hasil pembelajaran pelajar seperti disertasi, projek, kajian kes, portfolio, bengkel, seminar dan oral pelajar. Justeru ujian yang dibina perlu mencerminkan tujuan dan masa sesuatu penilaian dilakukan. Terdapat dua jenis penilaian berdasarkan kepada masa dan tujuan pelaksanaan penilaian iaitu penilaian formatif dan sumatif.


Penilaian Formatif

Penilaian formatif digunakan untuk mengesan kemajuan yang dicapai oleh pelajar dalam unit-unit pelajaran yang diajar. Penilaian formatif dilakukan bagi memastikan pelajar telah menguasai setiap unit pelajaran sebelum mereka diperkenalkan dengan unit pelajaran baru seterusnya. Penilaian formatif sangat berguna bagi tujuan diagnosis. Dengannya punca-punca kelemahan pelajar dapat dikesan. Penilaian formatif dapat menentukan samada pelajar telah bersedia untuk mengikuti pelajaran berikutnya yang lebih tinggi dan rumit. Penilaian formatif juga boleh meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar. Penggunaan penilaian formatif sangat ditekankan di universiti.

Memandangkan laporan penilaian formatif adalah untuk tujuan diagnosis kelemahan pelajar dalam unit-unit pelajaran, pelaporan penilaian formatif amat sesuai dirumuskan sebagai “menguasai” atau “tidak menguasai” sesuatu isi unit pelajaran. Pencapaian ujian formatif tidak sesuai digred.




Penilaian Sumatif

Penilaian sumatif pula digunakan bagi menentukan tahap penguasaan pelajar dalam keseluruhan kursus. Penilaian sumatif biasanya dilakukan pada akhir sesi kursus. Contoh penilaian sumatif ialah ujian akhir semester. Memandangkan penilaian sumatif dibuat pada akhir kursus, skor-skor dari penilaian sumatif biasanya lebih berguna untuk tujuan melaporkan kemajuan pelajar daripada memperbaiki kelemahan awal pengajaran pensyarah dan pembelajaran pelajar. Skor penilaian sumatif banyak digunakan bagi tujuan pemilihan dan penempatan graduan ke alam pekerjaan.

Aktiviti 10
Cuba kenal pasti perbezaan antara penilaian formatif dengan penilaian sumatif. Pada pendapat anda, apakah kekuatan dan kelemahan penilaian formatif berbanding dengan penilaian sumatif?

Penilaian Pra Kelayakan dan Diagnostik

Penilaian pra kelayakan digunakan sebagai petunjuk sama ada pelajar berpontensi, bersedia dan mempunyai kecerdasan, bakat dan minat terhadap sesuatu bidang yang ingin beliau ceburi. Penilaian diagnostik pula dilakukan sebagai cara untuk mengesan sama ada pelajar sudah bersedia untuk mengikuti pelajaran seterusnya. Sekiranya beliau belum bersedia, pensyarah dapat mengesan kelemahan dan kekuatan pelajar agar pembetulan serta penambahbaikan yang berkaitan boleh lakukan.

Ujian Pencapaian

Ujian pencapaian mengukur secara khusus sejauh mana pelajar telah menguasai isi sesuatu kursus yang diajar. Ujian pencapaian mempersoalkan apa yang pelajar telah belajar? Seringkali ujian pencapaian merujuk kepada ujian bagi mengukur tingkah laku pengajaran dan pembelajaran kognitif, afektif dan psikomotor.




Ujian Kecerdasan

Ujian kecerdasan adalah ujian yang direka khusus untuk mensampel secara luas pelbagai fungsi mental (pemikiran) supaya dapat menganggarkan tahap intelektual am seseorang individu.

Ujian Prestasi

Ujian prestasi adalah ujian yang memerlukan pelajar menunjukkan pemahaman dan kemahiran mereka dalam melakukan aktiviti atau siri aktiviti seharian. Ujian prestasi memberi rangsangan kepada pelajar untuk memperkenal dan mengembangkan aktiviti pemikiran dan taakulan mereka berasaskan kepada kurikulum yang diajar. Di antara teknik yang digunakan dalam ujian prestasi ialah menghendaki pelajar merakam sebahagian aktiviti, menemubual pelajar bagi mengesahkan kebolehan, kefahaman dan pemikiran mereka. Teknik portfolio juga sering digunakan bagi memeriksa hasil kerja pelajar. Melalui teknik portfolio guru boleh menentukan sama ada kerja yang dilakukan memenuhi kehendak soalan ujian.

Penilaian Alternatif

Penilaian prestasi yang menegaskan bahawa kaedah penilaian ini memberi satu alternatif kepada pengujian kertas dan pensil tradisional. Penilaian pengajaran di universiti sering melibatkan penilaian berdasarkan hasil pembelajaran yang ditunjukkan oleh pelajar. Antara penilaian alternatif ini adalah penilaian terhadap disertasi, projek, kajian kes, portfolio, seminar, bengkel dan oral pelajar. Sebagai contoh, pensyarah boleh menilai keberkesanan pengajarannya dalam sesuatu kursus melalui portfolio yang disediakan oleh pelajar. Penilaian alternatif ini memerlukan pengetahuan dan kemahiran khusus dan tidak dibincangkan dalam modul ini.




Ujian Rujukan Norma dan Kriteria

Selain berasaskan tujuan dan masa pelaksanaan, ujian juga boleh dikategorikan berasaskan kegunaan hasil ujian iaitu rujukan norma dan kriteria.

Ujian Rujukan Norma

Rujukan berasaskan norma digunakan sekiranya pensyarah ingin membandingkan prestasi pencapaian individu pelajar dengan prestasi pencapaian pelajar lain sama ada dalam kumpulan yang sama atau kumpulan yang berbeza mengikut kelas atau kumpulan. Apa yang ditekankan adalah apakah pelajar A lebih mahir dari pelajar B? Keputusan rujukan norma sesuai digunakan bagi tujuan pemilihan dan penempatan pelajar ke dalam sesuatu program pendidikan.

Ujian rujukan norma tidak memberi maklumat sama ada pelajar sudah menguasai sesuatu isi pelajaran dan kemahiran yang diajar. Soalan ujian rujukan norma biasanya bersifat umum dengan matlamat untuk memaksimumkan perbezaan pencapaian antara seorang pelajar dengan pelajar lain. Soalan ujian rujukan norma mengambil berat aspek kesukaran ujian agar soalan-soalan mempunyai kepelbagaian aras kesukaran serta tidak terlalu sukar dan terlalu mudah dengan jangkaan jawapan betul 50 peratus. Soalan ujian rujukan norma juga mempunyai indeks diskriminasi antara pelajar pandai dan pelajar lemah yang tinggi. Dalam pelaporannya, ujian rujukan norma kadang-kadang menggunakan kelok normal sebagai asas perbandingan pencapaian antara pelajar.

Ujian Berasaskan Kriteria

Rujukan kriteria pula digunakan sekiranya pensyarah ingin membandingkan prestasi pencapaian seseorang pelajar dengan kriteria yang ditetapkan. Ujian rujukan kriteria memberi penekanan sama ada seseorang pelajar telah menguasai sesuatu isi pelajaran dan kemahiran yang diajar. Ujian rujukan kriteria tidak mengambil kira kedudukan seseorang pelajar berbanding dengan pelajar lain.
Meskipun ujian rujukan kriteria sesuai untuk kursus berbentuk kumulatif iaitu pelajar perlu menguasai setiap unit sebelum unit berikutnya, kriteria yang digunakan dalam ujian rujukan ini tidak semestinya berbentuk akhiran atau sumatif. Maksudnya kriteria yang digunakan tidak semestinya isi sesuatu kursus yang hanya diperoleh pada akhir kursus. Para pensyarah boleh menggunakan kriteria berbentuk formatif iaitu ciri-ciri setiap unit pelajaran. Justeru itu, para pensyarah perlu membina banyak ujian rujukan kriteria bagi membuat penilaian sama ada seseorang pelajar telah menguasai sesuatu kemahiran yang diuji. Soalan-soalan ujian rujukan kriteria perlu mempunyai tahap padanan yang tinggi dengan objektif pembelajaran.
Rajah berikut menjelaskan perbandingan antara ciri-ciri rujukan norma dengan ciri-ciri rujukan kriteria.

Dimensi Ciri
Rujukan Norma
Rujukan Kriteria
1. Matlamat
Membandingkan prestasi seseorang pelajar dengan pelajar lain
Membandingkan prestasi seorang pelajar dengan kriteria piawai yang ditetapkan.

2. Pembinaan Soalan
Soalan menggalakkan kepelbagaian. Soalan menggunakan pengacau terbaik
Soalan memberi tumpuan kepada kriteria tingkah laku yang diuji. Menumpukan kepada pengenalpastian tingkah laku.

3. Kandungan Ujian
Cetek, kebiasaannya 1 atau 2 soalan setiap objektif
Mendalam, banyak soalan bagi setiap objektif.

4. Kepelbagaian Kandungan
Semakin pelbagai soalan ujian semakin baik
Kepelbagaian soalan ujian adalah minimum.

5. Pelaporan dan Pentafsiran
Persentil dan skor piawai
Bilangan lulus atau gagal serta julat prestasi yang boleh diterima.

Berikut diberikan contoh soalan ujian bagi rujukan norma (Contoh 1) dengan soalan rujukan kriteria (Contoh 2). Adakah anda berupaya untuk membezakannya?

Contoh 1:
Semasa Perang Iraq yang dilakukan oleh Amerika Syarikat pada tahun 2004, senjata berikut yang mana paling banyak digunakan oleh Amerika Syarikat?
A. Senjata Biologi
B. Senjata Nuklear
C. Missile Scud
D. Pengebuman udara

Contoh 2:
Semasa Perang Iraq yang dilakukan oleh Amerika Syarikat pada tahun 2004, senjata berikut lebih banyak mendatangkan kemusnahan berbanding dengan senjata yang lain.
A. F14 Tomcat
B. F16 Hornet
C. A6 Intruder
D. A10 Thunderbolt


Aktiviti 12
Jelaskan mengapa Contoh 1 dikatakan lebih mirip kepada soalan ujian norma berbanding dengan Contoh 2 yang dikatakan lebih mirip kepada soalan ujian rujukan kriteria?

No comments:

Post a Comment