Modul 4A Konsep Pengujian, Pengukuran dan Penilaian
1 Pengertian dan Tujuan Pengajaran dan Penilaian
Penilaian memainkan peranan penting dalam pendidikan. Penilaian dilakukan dalam semua aspek pendidikan bagi mengenal pasti status semasa dan seterusnya bagi tujuan perancangan program penambahbaikan pendidikan. Dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik kuliah dan makmal, penilaian dilakukan bagi mengetahui sama ada pensyarah ‘mengajar’ dan pelajar ‘belajar’.
Justeru itu, penilaian pengajaran dan pembelajaran perlu dilakukan dengan sempurna dan berkesan. Bukti-bukti empirikal tentang sesuatu pengajaran dan pembelajaran yang diperoleh menggunakan pengukuran perlu dianalisis. Memandangkan pengukuran di bilik kuliah dan makmal sering menggunakan ujian, pengujian merupakan salah satu aspek utama dalam bidang penilaian pengajaran.
Seseorang pensyarah biasanya merangka objektif dan kandungan kursus yang hendak diajar sebelum merancang strategi dan kaedah pengajaran kursus berkenaan. Kemudian, beliau akan menyediakan soalan sama ada untuk kuiz, ujian atau peperiksaan. Dalam merancang dan membina soalan, adalah penting agar soalan-soalan tersebut relevan, sesuai dan menepati objektif kursus yang dirancang dan kandungan yang diajar. Seterusnya, kertas jawapan pelajar perlu diperiksa, diskor, dianalisis dan ditafsir bukan sahaja untuk membuat penilaian yang adil terhadap penguasaan pelajar dalam kursus yang diajar, malah bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan soalan dan seterusnya pengajaran pensyarah. Justeru pemahaman terhadap konsep penilaian, pengukuran dan pengujian, ciri-ciri utama soalan ujian, matlamat mereka bentuk soalan formatif, sumatif, pra kelayakan dan diagnostik serta norma dan kriteria sangat penting bagi seseorang pensyarah bagi memastikan pengajaran dan penilaiannya bermutu dan adil.
1.1 Pengertian Penilaian
Apakah itu penilaian pendidikan? Menurut Stufflebeam (1971), penilaian adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita. Penilaian menentukan jurang perbezaan antara “apa yang dihasilkan” dengan “apa yang dihasratkan” dari sesuatu program pendidikan. Penilaian merupakan pertimbangan profesional iaitu proses yang membolehkan seseorang membuat keputusan.
Meskipun banyak definisi penilaian pendidikan dikemukakan oleh pakar-pakar seperti Stufflebeam (1971), Thorndike dan Hagen (1977) dan Kubiszyn dan Borich (1996), pada asasnya penilaian merupakan suatu proses membuat keputusan yang sistematik melibatkan pengenalpastian, pemerolehan dan pentafsiran maklumat yang berguna bagi pertimbangan pilihan-pilihan keputusan berasaskan kepada sesuatu objektif pendidikan. Dari segi pengajaran dan pembelajaran di universiti, penilaian boleh didefinisikan secara ringkas sebagai satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran di dewan kuliah dan makmal dicapai.
Definisi penilaian ini membawa maksud objektif pengajaran perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum penentuan pencapaian objektif tersebut dibuat berasaskan pertimbangan terhadap bukti empirikal. Bukti empirikal pencapaian biasanya diperoleh secara pengukuran terhadap penguasaan pelajar dengan menggunakan alat ukur yang dinamakan ujian. Namun, perkembangan dalam bidang penilaian menunjukkan banyak cara kita boleh menilai pengajaran pensyarah. Antara pelbagai jenis penilaian yang sering dilakukan di universiti adalah penilaian terhadap disertasi, projek, kajian kes, portfolio, bengkel, seminar, oral pelajar. Bukti empirikal dikumpul secara sistematik berasaskan maklumat sahih, tekal, telus dan boleh dipertahankan. Tanpa bukti empirikal, pertimbangan terhadap pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran mungkin dibuat berasaskan pendapat iaitu pertimbangan nilai bersifat subjektif, pincang dan rapuh.
Kuantifikasi dan Kualifikasi Dalam Penilaian
Penilaian pendidikan membabitkan dua unsur utama iaitu kuantifikasi dan kualifikasi. Kuantifikasi menggunakan ujian bagi mengukur kewujudan bukti empirikal penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus yang diajar. Kualifikasi menggunakan pertimbangan nilai terhadap bukti empirikal penguasaan pelajar bagi membuat keputusan sama ada objektif pengajaran dan pembelajaran dicapai atau tidak.
Bukti empirikal penguasaan pelajar dalam bentuk skor yang sahih dan boleh dipercayai sangat diperlukan bagi membuat penilaian. Keperluan ini adalah kerana setiap keputusan yang dibuat melibatkan risiko. Bukti empirikal membantu kita membuat keputusan dengan risiko yang kecil. Semakin tepat pensyarah mengukur pencapaian pelajar, semakin tepat penilaian pensyarah terhadap keberkesanan pengajarannya.
Aktiviti 1
a. Cuba fikirkan apakah matlamat pensyarah mengajar sesuatu kursus di bilik kuliah dan makmal.
b. Apakah peranan penilaian dalam memastikan bahawa matlamat pengajarannya dicapai?
c. Apakah aspek-aspek penilaian yang perlu diperhatikan oleh pensyarah bagi memastikan matlamat pengajarannya dicapai?
d. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pensyarah bagi memastikan matlamat pengajarannya tercapai?
e. Senaraikan risiko yang berkait dengan keputusan pensyarah untuk membuat keputusan sama ada pengajarannya berkesan atau tidak berkesan.
1.2 Pengertian Pentaksiran dan Pengukuran
Kesahan bukti empirikal yang digunakan bagi penilaian sangat bergantung kepada sejauh mana pensyarah berupaya mengkuantifikasikan dengan tepat kewujudan atribut atau ciri penguasaan pelajar yang digunakan sebagai asas penilaian. Pentaksiran adalah suatu proses yang meliputi pelbagai kaedah untuk menentukan tahap sesuatu ciri atau atribut yang diperolehi seseorang individu. Pengukuran merupakan suatu proses kuantifikasi dengan memberi nilai angka kepada kewujudan sesuatu ciri dan atribut. Dalam pengajaran dan pembelajaran di universiti, kewujudan ciri “penguasaan” sesuatu isi kursus yang diajar oleh pensyarah pada pelajar dikuantifikasikan dengan memberi skor ujian.
Aktiviti 2
a. Cuba fikirkan yang mana lebih berkesan: meyakinkan seseorang dengan pendapat atau dengan angka? Berikan alasan mengapa anda berfikiran sedemikian?
b. Perkembangan sains selalu dikaitkan dengan angka. Cuba fikirkan bagaimanakah pengukuran membantu membangunkan bidang sains.
c. Sejauh mana kebenaran kata-kata Edward Thorndike (1914): “Jika sesuatu perkara itu wujud, ia wujud pada jumlah tertentu. Jika ia wujud pada jumlah tertentu, maka kita boleh mengukurnya”.
1.3 Pengertian Pengujian
Pengujian merupakan proses mengaturkan satu siri tugasan untuk diselesaikan supaya pemerhatian tepat dibuat tentang penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus di universiti. Ujian adalah alat ukur. Ujian digunakan bagi mengukur ‘penguasaan’ pelajar dalam sesuatu kursus. Ujian mengandungi satu set tugasan (dalam bentuk tugasan) yang berdasarkan sesuatu kursus bagi merangsang pelajar untuk ‘menunjukkan’ tahap penguasaan mereka dalam kursus berkenaan. Tahap penguasaan pelajar biasanya dikuantifikasikan dengan memberi skor kepada jawapan yang diberi.
Memandangkan ujian merupakan alat ukur yang sering digunakan untuk mendapatkan bukti empirik bagi tujuan penilaian pengajaran dan pembelajaran di universiti, tumpuan perlu diberi bagi membina ujian yang bermutu, mentadbir ujian berkenaan dengan betul dan mentafsir dapatannya dengan tepat. Kita perlu memastikan penilaian terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan sempurna dan boleh dipertahankan. Satu daripada cara-cara memastikan ini berlaku ialah dengan menjalankan pengujian yang berkualiti.
Aktiviti 3
a. Cuba fikirkan apakah cara lain untuk mendapatkan bukti penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus selain daripada pengujian?
b. Senaraikan apakah ciri-ciri ujian sebagai alat ukur yang sahih?
c. Fikirkan bagaimanakah ujian yang baik boleh dibina?
d. Terangkan bagaimanakah pengujian boleh dilaksanakan dengan berkesan?
1.4 Tujuan Pengujian Pengajaran dan Pembelajaran
Tujuan utama pengujian ialah untuk menghasilkan bukti yang boleh digunakan bagi membuat penilaian terhadap pengajaran dan pembelajaran di universiti. Penilaian di bilik kuliah dan makmal boleh membantu para pensyarah menambah baik pengajaran mereka dan pembelajaran pelajar. Selain matlamat diagnosis pengajaran dan pembelajaran, skor ujian digunakan sebagai asas bagi pengredan, pemilihan, penempatan, kaunseling dan bimbingan pelajar.
Diagnosis
Satu daripada tujuan pengujian ialah untuk mendiagnos kesukaran yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran. Diagnosis pengajaran diperlukan bagi mengesan sejauhmana pengajaran pensyarah berkesan. Sekiranya berkesan, pensyarah akan lebih yakin untuk meneruskan strategi dan kaedah pengajarannya. Sekiranya tidak berkesan, pensyarah boleh menganalisis dan mengesan kelemahan yang ada supaya strategi dan kaedah pengajaran pensyarah boleh diubahsuai, diperbaiki dan dipertingkatkan.
Diagnosis terhadap pembelajaran pelajar pula diperlukan bagi mengesan sejauhmana pembelajaran berlaku. Sekiranya berkesan, kita boleh meneruskan strategi dan gaya pembelajaran sedia ada. Sekiranya tidak berkesan, kita perlu menganalisis dan mengenal pasti apakah kelemahan yang berlaku supaya strategi dan gaya pembelajaran pelajar boleh diubahsuai, diperbaiki dan dipertingkatkan.
Pengredan
Pengujian juga dilakukan bagi tujuan pengredan pelajar. Pensyarah boleh mengred pencapaian pelajar kepada kategori ‘lulus’ atau ‘gagal’, ‘lemah’, ‘sederhana’ atau ‘cemerlang’ atau gred ‘A’, ‘B’ ‘C’, ‘D’ atau ‘E’. Melalui pengredan pelajar, kita boleh memberitahu ibu bapa dan pihak berkaitan tentang prestasi akademik pelajar khususnya berbanding dengan prestasi pelajar lain.
Dengan adanya maklumat gred, pensyarah dan ibu bapa boleh memainkan peranan membantu dan seterusnya melibatkan diri dalam proses pendidikan pelajar. Rangsangan luaran seperti penghargaan, nasihat, sokongan, bantuan dan kerjasama dari pihak-pihak yang terbabit dengan pendidikan pelajar khususnya ibu bapa sangat penting bagi meransang kemajuan dan pembangunan pelajar di universiti.
Pemilihan dan Penempatan
Seringkali juga skor dan keputusan ujian digunakan sebagai asas bagi pemilihan dan penempatan pelajar. Sebagai contoh pelajar yang cemerlang dalam sesuatu kursus sains mungkin dipilih untuk mewakili fakulti atau universiti. Skor dan keputusan ujian juga digunakan bagi pemilihan pelajar untuk mengikuti kursus tumpuan bidang tertentu. Malah, keputusan ujian di universiti digunapakai oleh bakal majikan sebagai kriteria pemilihan dan penempatan graduan ke dalam pekerjaan yang sesuai.
Kaunseling dan Bimbingan
Keputusan dan skor ujian boleh digunakan untuk membantu pelajar supaya berdaya maju. Berasaskan keputusan ujian, para pensyarah dan kaunselor boleh membantu pelajar mengenal pasti kelemahan dan kekuatan masing-masing supaya program dan tindakan intervensi dilakukan bagi memperbaiki keadaan pelajar. Keputusan ujian juga membantu para pensyarah dan kaunselor untuk memberi khidmat bimbingan misalnya bagi memandu pelajar menceburi bidang kerjaya yang diminati apabila pelajar bergraduat.
Sunday, February 22, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Ni maklumat yang baik untuk dikongsi
ReplyDeleteApe konsep KEESAHAN dan KEBOLEHPERCAYAAN?
ReplyDelete